Friday, June 16, 2017

SESI ‘LIVE’ BERSAMA DR M JADI MEDAN SINDIR PELAKON FATHIA LATIFF

PETALING JAYA: Pengguna Facebook rata-rata kecewa dengan sesi wawancara secara langsung bersama Tun Dr Mahathir Mohamad pagi tadi, dengan ramai mengkritik pelakon dan model Nur Fathia Abdul Latiff gagal menjalankan tugas sebagai hos melontarkan soalan bernas.
Wawancara itu, yang diadakan selang beberapa jam selepas pihak berkuasa Amerika Syarikat menamakan beberapa aset mewah untuk dirampas kerana didakwa berkait dengan wang dicuri daripada 1MDB, adalah yang ke-3 diadakan bersama bekas perdana menteri itu tahun ini.
Bagaimanapun, isu hangat itu tidak disentuh sepanjang wawancara 45 minit itu.
Sesi kali ini juga tidak berdasarkan soalan pengguna Facebook seperti sebelumnya. Sebaliknya, Fathia mengemukakan soalan lebih bersifat santai dan menjurus kepada peribadi pengerusi PPBM itu, mengundang kritikan ramai.
“Anda di sana mewakili kami yang berada di luar ini. Tak kiralah sebagai suara kepada penyokong kerajaan atau pembangkang. Jadi letakkan diri anda sebagai seorang ‘wakil’ yang bertanyakan soalan-soalan lebih luas skopnya, bukan lebih kepada apa yang anda secara peribadi rasakan serta pengalaman keluarga anda,” komen Amelia Abu Bakar, salah seorang daripada kira-kira 80,000 penonton yang mengikuti wawancara 45 minit itu.
Ia selepas puluhan pengguna Facebook membanjiri ruang komen mempersoalkan pengetahuan Fathia, pelakon drama berusia 29 tahun yang merupakan lulusan undang-undang Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Fathia memulakan sesi itu dengan bertanya bagaimana bekas perdana menteri itu merancang pembinaan Menara Kembar KLCC yang menempatkan ibu pejabat Petronas.
Sepanjang wawancara itu, Dr Mahathir dilihat tenang menjawab soalan Fathia, termasuk soalan yang kerap ditanya mengenai tabiat kesihatan dan rutin harian.
Pada satu peringkat, pengguna Facebook mempersoalkan Fathia bertanyakan maksud “whistleblower” (pemberi maklumat), ketika Dr Mahathir menjelaskan bagaimana isu 1MDB mula dibongkar oleh orang dalam yang tidak tahan dengan apa yang berlaku.
“Fathia bukan tak tau apa tu whistleblower, cuma dia nak Tun jelaskan kot-kot ada penonton yang tak faham,” kaa seorang pengunjung mempertahankan Fathia.
Cara Fathia tangani kritikan
Ada juga yang menyindir Fathia dengan menyuruhnya kembali kepada kerjaya lakonan.
“Semoga kau tenang di sana dengan kerjaya kau,” kata Inash Nasrullah.
Fathia bagaimanapun dilihat berkali-kali mengakui tidak arif sangat mengenai politik semasa, sambil berkata beliau juga tidak memandang serius pelbagai isu yang dibangkitkan pembangkang.
“Rakyat Malaysia tetap happy, shopping, so apa masalahnya,” Fathia memberikan contoh respons orang muda sepertinya yang tidak memandang berat isu negara.
Dr Mahathir kemudian menjawab: “Realitinya, banyak kedai sudah ditutup kerana tak laku, pelanggan tak belanja macam dahulu.”
Fathia kemudian berkata, sebagai seorang yang tinggal di bandar dan tidak dikategorikan miskin, beliau tidak nampak kesusahan rakyat seperti yang digembar-gemburkan itu.
“Orang datang jumpa, saya nampak,” jawab Dr Mahathir. “Minta kerja tak dapat kerja. Walaupun lulus, graduan, tak dapat kerja. Minta biasiswa tak dapat. Dulu mudah.”
Di akhir sesi itu, Fathia yang mungkin sudah melihat kebanjiran komen mengecamnya, berkata beliau terbuka dengan segala kritikan kerana ia dapat membaiki dirinya.
“Benda negatif, Fathia rasa tak perlu fikir, sebab bila fikir, kita lagi stress. So Fathia rasa kita biarkan dan cuba jadi positif,” katanya sebelum meneruskan soalannya mengenai hubungan mesra Dr Mahathir dan isterinya Tun Dr Siti Hasmah Ali.
Di sebalik kecaman itu, ada juga yang cuba mempertahankan cara Fathia mengendalikan wawancara itu.
“Jangan la kutuk Fathia. Ini pengalaman baru untuk dia. Yang penting kita nak dengar fikiran Tun M yang tersayang.
“Soalan budak sekolah pun Tun boleh alih pada jawapan penuh falsafah.”

0 comments: