Friday, June 16, 2017

MB N9 NAFI BERITA DUIT RAYA KEPADA ORANG RAMAI DI DUN RANTAU


SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan kesal dengan penyebaran mesej palsu yang mendakwa beliau akan memberi duit raya kepada orang ramai di pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau dan masjid-masjid di sekitar kawasan itu.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Rantau berkata, perkara itu telah disebarkan melalui aplikasi WhatsApp dan dipercayai untuk mensabotaj dan mencemar nama baiknya.

“Berita ini adalah tidak benar dan palsu yang bertujuan mengelirukan orang ramai. Dengan cara ini akan menyebabkan orang ramai marah kepada saya jika mereka dapati pejabat saya tidak memberi duit raya seperti yang diviralkan.

“Ini taktik lama dan memang biasa digunakan oleh pihak yang berkepentingan untuk mensabotaj dan menjejaskan pihak lawan dan kerap berlaku semasa pilihan raya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohamad menjelaskan, beliau sudah lama menghentikan amalan memberi duit raya di pejabatnya di DUN Rantau semasa hari perayaan.

“Saya harap orang ramai tidak terpedaya dengan dakyah dan tipu helah fitnah yang tersebar di dalam media sosial ini,” katanya.

- UTUSAN ONLINE


0 comments: