Monday, June 12, 2017

BERSATU CABAR NAJIB DEBAT MAHATHIR KERJA SIA-SIA, KATA ISMAIL SABRI

BERA, 12 Jun — Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berpandangan adalah lebih baik untuk Barisan Nasional (BN) khususnya Umno tidak melayan permintaan pembangkang untuk berdebat.
Beliau juga menyifatkan melayan kehendak untuk berdepat itu sebagaikerja sia-sia kerana penganjurannya jelas bertujuan mencari kesalahan selain tidak membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat.
“Saya rasa kita tidak perlu melayan pembangkang itu kerana hanya menghabiskan masa. Malah Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) juga menyatakan kerajaan hari ini adalah kerajaan yang mendengar semua permasalahan rakyat dan akan menyelesaikannya.
“Masalah rakyat itu yang lebih penting daripada berdebat dan sebagainya… yang bukannya mencari kebenaran tetapi untuk mencari kesalahan dan membuat tuduhan palsu yang bukan-bukan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Peruntukan Parlimen Bera di Dewan Umno Bera di sini hari ini.
Anggota parlimen Bera mengulas kenyataan ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang dilaporkan akan menganjurkan forum “Nothing to Hide” kedua dengan menjemput Najib dan pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohammad menjawab soalan berbangkit daripada mana-mana pihak.
Ismail Sabri berkata jika Umno berlapang dada untuk “menyambut pelawaan itu sekalipun”, penganjurannya tidak akan mencapai objektif kerana sudah pasti pembangkang tidak akan menerima apa juga kebenaran dan kebaikan yang dilakukan Umno. — Bernama

0 comments: