Monday, June 12, 2017

AHMAD MASLAN SARAN PROGRAM SISWAPRENEUR DILAKSANAKAN DISEMUA UNIVERSITI AWAM

NILAI -- Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Ahmad Maslan mencadangkan agar program siswapreneur dilaksanakan di semua universiti awam di negara ini bagi memberi peluang kepada mahasiswa menyelami ilmu keusahawanan.
Beliau berkata setakat ini hanya tujuh daripada 20 universiti awam menyertai program itu.
"Program sesuai dimulakan pada tahun ini kerana tahun ini merupakan tahun kempen mula jadi usahawan (start-up year) dan tahun promosi perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
"Oleh itu, sesuai dengan dua kempen tersebut saya juga mencadangkan supaya siswa siswi menanamkan budaya keusahawanan dalam diri dan membuang budaya 'makan gaji'," katanya pada sidang media di sini selepas menjadi anggota panel program Transformasi Nasional 2050 'Mengusahawankan Mahasiswa Berlandaskan Maqasid Syariah' di Kompleks Islam Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) hari ini.
Turut hadir Naib Canselor USIM Prof Datuk Dr Musa Ahmad.
Mengulas lanjut Ahmad berkata antara kebaikan program itu ialah dapat mengurangkan pengangguran dalam kalangan siswazah yang berpeluang menceburi bidang keusahawanan semasa masih di universiti.
Selain itu, beliau berkata program siswapreneur juga dilihat mampu melahirkan lebih ramai usahawan Melayu dan seterusnya menguasai industri halal.
"Sepatutnya usahawan halal di Malaysia 70 peratus Islam 30 peratus bukan Islam, tapi ini terbalik. Itu menunjukan kelemahan yang patut kita perbaiki," katanya.
-- BERNAMA

0 comments: