Wednesday, June 21, 2017

PEMUDA PKR TAK MAHU TUN M TAWAR DIRI SEBAGAI PM

SHAH ALAM: Angkatan Muda Keadilan (AMK) hari ini menggesa Tun Dr Mahathir Mohamad membuat pengumuman yang sama seperti pemimpinnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk tidak menawarkan diri sebagai Perdana Menteri Pakatan Harapan (PH).

Timbalan AMK, Dr Afif Bahardin kemudiannya berkata Dr Mahathir seharusnya menggunakan kapasitinya sebangai 'negarawan' untuk memberi nasihat dan panduan kepada gagasan itu dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 nanti.

“Kami berharap Tun Dr Mahathir Mohamad juga akan dapat memberikan komitmen bahawa beliau tidak akan menawarkan diri untuk bertanding sekaligus tidak menawarkan diri untuk menjadi calon perdana menteri,” katanya memetik laporan sebuah portal.

Afif seterusnya berkata, meskipun terkilan dengan pendirian Anwar berhubung isu jawatan itu, AMK bagaimanapun menghormati keputusan tersebut.

Sabtu lalu, Anwar dalam satu kenyataannya melalui ibu pejabat PKR menyatakan bahawa beliau bersetuju sekiranya Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad diberikan peranan penting dalam PH, namun menolak penguasaan PPBM dalam jawatan pengerusi dan presiden dalam gagasan itu.

Parti komponen PH kini dikatakan bertelagah mengenai struktur organisasi baru pakatan itu selepas Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tidak diberikan jawatan utama dan sekadar menjadi timbalan.

Anwar yang dinamakan penasihat dalam senarai itu menolak pengerusi PH mempunyai kuasa pemutus sebaliknya hanya perlu diberi tugas-tugas menyelaras.


- Antarapos

Tuesday, June 20, 2017

ISU RM9.5 JUTA: KERAJAAN, SHAFEE DIARAH JAWAB SAMAN ANWAR

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini mengarahkan kerajaan menjawab saman difailkan bekas ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memohon untuk membatalkan sabitan liwatnya atas alasan perbicaraan tidak adil kerana pendakwa raya dikatakan menerima jutaan ringgit daripada perdana menteri.

Peguam, Latheefa Koya berkata, Mahkamah Tinggi juga mengarahkan peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memfailkan kesnya sebagai tindak balas terhadap permohonan Anwar yang memaksa peguam Umno itu mendedahkan transaksi akaun banknya antara Ogos 2013 dan Mac 2014.
Minggu lalu, Anwar memfailkan 2 saman – tidak mendapat perbicaraan adil dan memaksa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Shafee mendedahkan butiran akaun bank mereka.
“Kerajaan perlu memfailkan afidavitnya pada 12 Julai, manakala Shafee pada 17 Julai,” katanya selepas pengurusan kes di depan Hakim, Datuk Kamaludin Md Said.
Pengurusan kes itu ditetapkan pada 3 Ogos nanti.
Latheefa yang hadir bersama N Surendran berkata, Najib tidak hadir hari ini, walaupun Anwar turut menamakannya untuk mendedahkan transaksi akaun banknya untuk tempoh sama.
Pada 9 Jun lalu, Anwar memfailkan saman untuk membatalkan sabitan liwat ke atasnya dengan alasan mahkamah tidak membuat keputusan adil apabila Shafee yang dilantik mengetuai pasukan pendakwaan, didakwa menerima RM9.5 juta daripada Najib.
Awal bulan ini, Sarawak Report melaporkan Shafee menerima 2 transaksi wang berjumlah RM9.5 juta daripada akaun bank peribadi Najib, pada 2013 dan 2014.
Anwar mahu mahkamah membebaskannya dengan mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan pada Mac 2014, yang membatalkan pembebasannya atas tuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 2008.
Keputusan itu disahkan semula oleh Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari 2015 yang menjatuhkan hukuman penjara 5 tahun ke atas Anwar.
Ketika perbicaraan kes Anwar, pihak pendakwaan diketuai Peguam Cara Negara, Datuk Mohd Yusof Zainal Abidin.
Susulan persaraan awal Yusof, Shafee dilantik Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Abdul Gani Patail pada 11 Julai 2013 untuk mengetuai pasukan pendakwaan.

Monday, June 19, 2017

KERAJAAN BATAL HASRAT KENAKAN GST TERHADAP LEBIH 60 BARANGAN MAKANAN

Pihak kerajaan dilaporkan telah membatalkan hasrat untuk mengenakan cukai barang dan perkhidmatan (GST) ke atas lebih 60 barangan makanan seperti yang dilaporkan sebelum ini.

Ketua Pengarah Kastam Datuk Subromaniam Tholasy berkata, keputusan berkenaan diambil selepas pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kewangan.

Menurutnya, laporan media itu berdasarkan Perintah Cukai Barang Dan Perkhidmatan (Pembekalan Berkadar Sifar) (Pindaan) (No.2) 2017 yang diwartakan pada 6 Jun lalu.

“Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) telah merujuk perkara ini dengan Kementerian Kewangan untuk maklumbalas dan telah membuat keputusan supaya P.U. (A) 162 Perintah Cukai Barang Dan Perkhidmatan (Pembekalan Berkadar Sifar) (Pindaan) (No. 2) 2017 dibatalkan,” kata Subromaniam dalam kenyataan.

Akhbar China Press sebelum semalam melaporkan bahawa Subromaniam telah mengesahkan pada 1 Julai lebih daripada 60 barang makanan akan dikenakan GST, termasuk beberapa jenis makanan laut, sayur-sayuran, buah-buahan, teh, kopi, rempah dan mi.

Makanan yang terlibat adalah seperti belut dan ikan todak, manakala buah-buahan diimport seperti avokado, buah ara, anggur, buah pic, ceri, beri bihun, kuey teow, laksa mee, minyak kelapa, kentang, kacang panjang, kacang, bayam dan jagung manis. - Siakapkeli.my


Sumber: Jabatan Kastam Diraja Malaysia

Sunday, June 18, 2017

NAJIB: TIADA PIHAK BERHAK GUNA SLOGAN ‘JOM BANTU RAKYAT’ SELAIN KERAJAAN UMNO-BN

Foto: Reuters Blogs
PEKAN: Slogan ‘Jom Bantu Rakyat’ yang diperkenalkan kerajaan Barisan Nasional (BN) adalah selari dengan usaha kerajaan mahu membantu rakyat tanpa mengira masa dan keadaan, kata Datuk Seri Najib Razak.
Perdana Menteri berkata slogan itu juga membuktikan komitmen kerajaan untuk terus membela nasib rakyat, terutama apabila ditimpa musibah.
“Tidak ada pihak lain yang berhak menggunakan slogan itu melainkan kerajaan BN dan UMNO. Saya tidak perlu huraikan dari mana (bantuan diberikan). Sumbernya pelbagai.
“Ada Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Klinik 1Malaysia, bantuan baik pulih rumah, bantuan persekolahan, universiti dan pelbagai lagi bantuan yang diberikan.
“Ini sebab kita letakkan rakyat sebagai tanggungjawab kita kerana kita adalah pemimpin yang dipilih mereka. Jadi kena berkhidmat bersungguh-sungguh,” katanya semasa berucap selepas solat Isya’, Tarawih dan Witir berjemaah bersama penduduk Kampung Serambi di sini, malam tadi.
Turut hadir ialah Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Pahang Datuk Seri Ishak Muhamad, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda Pahang Datuk Abu Bakar Harun dan Pengerusi Biro Kebajikan UMNO Datuk Dr Shamsul Anuar Nassarah.  – Bernama

GST KEATAS LEBIH 60 BARANG MAKANAN MULAI 1 JULAI


Lebih 60 jenis barangan makanan akan dikenakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bermula 1 Julai ini.
Perkara itu disahkan oleh Ketua Pengarah Jabatan Kastam Datuk Subromaniam Tholasy yang dipetik oleh akhbar The Star sebagai berkata, kenyataan penuh akan dikeluarkan hari ini.
"Ia hanya beberapa barangan yang jarang digunakan oleh orang ramai," katanya.
Semalam, akhbar Cina, China Press melaporkan antara barangan berkenaan, termasuk makanan laut tertentu, sayur-sayuran, buah-buahan, teh, kopi, rempah dan mi.
Barangan baru yang akan dikenakan GST itu termasuk belut, ikan todak dan buah-buahan yang diimport seperti avokado, buah ara, anggur, nectarines, ceri dan beri.
Sementara itu, sayur-sayuran seperti kentang, kacang panjang, kacang, bayam dan jagung manis juga akan dikeluarkan daripada senarai GST berkadar sifar.
Barangan lain termasuk bihun, kuey teow, laksa mee dan minyak kelapa.
Kerajaan telah memperkenalkan GST pada April 2015 dalam bentuk cukai 6 peratus ke atas barangan dan perkhidmatan.
Untuk senarai lengkap barangan dan perkhidmatan berkadar sifar,lawati gst.customs.gov.my atau www.federalgazette.agc.gov.my
- Foto: The Borneo Post

Friday, June 16, 2017

MB N9 NAFI BERITA DUIT RAYA KEPADA ORANG RAMAI DI DUN RANTAU


SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan kesal dengan penyebaran mesej palsu yang mendakwa beliau akan memberi duit raya kepada orang ramai di pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau dan masjid-masjid di sekitar kawasan itu.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Rantau berkata, perkara itu telah disebarkan melalui aplikasi WhatsApp dan dipercayai untuk mensabotaj dan mencemar nama baiknya.

“Berita ini adalah tidak benar dan palsu yang bertujuan mengelirukan orang ramai. Dengan cara ini akan menyebabkan orang ramai marah kepada saya jika mereka dapati pejabat saya tidak memberi duit raya seperti yang diviralkan.

“Ini taktik lama dan memang biasa digunakan oleh pihak yang berkepentingan untuk mensabotaj dan menjejaskan pihak lawan dan kerap berlaku semasa pilihan raya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohamad menjelaskan, beliau sudah lama menghentikan amalan memberi duit raya di pejabatnya di DUN Rantau semasa hari perayaan.

“Saya harap orang ramai tidak terpedaya dengan dakyah dan tipu helah fitnah yang tersebar di dalam media sosial ini,” katanya.

- UTUSAN ONLINE


SESI ‘LIVE’ BERSAMA DR M JADI MEDAN SINDIR PELAKON FATHIA LATIFF

PETALING JAYA: Pengguna Facebook rata-rata kecewa dengan sesi wawancara secara langsung bersama Tun Dr Mahathir Mohamad pagi tadi, dengan ramai mengkritik pelakon dan model Nur Fathia Abdul Latiff gagal menjalankan tugas sebagai hos melontarkan soalan bernas.
Wawancara itu, yang diadakan selang beberapa jam selepas pihak berkuasa Amerika Syarikat menamakan beberapa aset mewah untuk dirampas kerana didakwa berkait dengan wang dicuri daripada 1MDB, adalah yang ke-3 diadakan bersama bekas perdana menteri itu tahun ini.
Bagaimanapun, isu hangat itu tidak disentuh sepanjang wawancara 45 minit itu.
Sesi kali ini juga tidak berdasarkan soalan pengguna Facebook seperti sebelumnya. Sebaliknya, Fathia mengemukakan soalan lebih bersifat santai dan menjurus kepada peribadi pengerusi PPBM itu, mengundang kritikan ramai.
“Anda di sana mewakili kami yang berada di luar ini. Tak kiralah sebagai suara kepada penyokong kerajaan atau pembangkang. Jadi letakkan diri anda sebagai seorang ‘wakil’ yang bertanyakan soalan-soalan lebih luas skopnya, bukan lebih kepada apa yang anda secara peribadi rasakan serta pengalaman keluarga anda,” komen Amelia Abu Bakar, salah seorang daripada kira-kira 80,000 penonton yang mengikuti wawancara 45 minit itu.
Ia selepas puluhan pengguna Facebook membanjiri ruang komen mempersoalkan pengetahuan Fathia, pelakon drama berusia 29 tahun yang merupakan lulusan undang-undang Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Fathia memulakan sesi itu dengan bertanya bagaimana bekas perdana menteri itu merancang pembinaan Menara Kembar KLCC yang menempatkan ibu pejabat Petronas.
Sepanjang wawancara itu, Dr Mahathir dilihat tenang menjawab soalan Fathia, termasuk soalan yang kerap ditanya mengenai tabiat kesihatan dan rutin harian.
Pada satu peringkat, pengguna Facebook mempersoalkan Fathia bertanyakan maksud “whistleblower” (pemberi maklumat), ketika Dr Mahathir menjelaskan bagaimana isu 1MDB mula dibongkar oleh orang dalam yang tidak tahan dengan apa yang berlaku.
“Fathia bukan tak tau apa tu whistleblower, cuma dia nak Tun jelaskan kot-kot ada penonton yang tak faham,” kaa seorang pengunjung mempertahankan Fathia.
Cara Fathia tangani kritikan
Ada juga yang menyindir Fathia dengan menyuruhnya kembali kepada kerjaya lakonan.
“Semoga kau tenang di sana dengan kerjaya kau,” kata Inash Nasrullah.
Fathia bagaimanapun dilihat berkali-kali mengakui tidak arif sangat mengenai politik semasa, sambil berkata beliau juga tidak memandang serius pelbagai isu yang dibangkitkan pembangkang.
“Rakyat Malaysia tetap happy, shopping, so apa masalahnya,” Fathia memberikan contoh respons orang muda sepertinya yang tidak memandang berat isu negara.
Dr Mahathir kemudian menjawab: “Realitinya, banyak kedai sudah ditutup kerana tak laku, pelanggan tak belanja macam dahulu.”
Fathia kemudian berkata, sebagai seorang yang tinggal di bandar dan tidak dikategorikan miskin, beliau tidak nampak kesusahan rakyat seperti yang digembar-gemburkan itu.
“Orang datang jumpa, saya nampak,” jawab Dr Mahathir. “Minta kerja tak dapat kerja. Walaupun lulus, graduan, tak dapat kerja. Minta biasiswa tak dapat. Dulu mudah.”
Di akhir sesi itu, Fathia yang mungkin sudah melihat kebanjiran komen mengecamnya, berkata beliau terbuka dengan segala kritikan kerana ia dapat membaiki dirinya.
“Benda negatif, Fathia rasa tak perlu fikir, sebab bila fikir, kita lagi stress. So Fathia rasa kita biarkan dan cuba jadi positif,” katanya sebelum meneruskan soalannya mengenai hubungan mesra Dr Mahathir dan isterinya Tun Dr Siti Hasmah Ali.
Di sebalik kecaman itu, ada juga yang cuba mempertahankan cara Fathia mengendalikan wawancara itu.
“Jangan la kutuk Fathia. Ini pengalaman baru untuk dia. Yang penting kita nak dengar fikiran Tun M yang tersayang.
“Soalan budak sekolah pun Tun boleh alih pada jawapan penuh falsafah.”

Wednesday, June 14, 2017

MENGAKU IMAM BAZAR RAMADAN TAPI MENYALAHI AKHLAK SEORANG MUSLIM

Tindakan seorang lelaki yang mendakwa dia seorang imam ketika menghalang penyokong Pakatan Harapan memasuki bazar Ramadan di Kluang pada Ahad lalu sama sekali menyalahi akhlak seorang Muslim.
Penolong Setiausaha DAP Johor, Sheikh Omar Ali, berkata lagak “kasar dan samseng” itu juga tidak menepati adab pekerti orang Melayu.
“Tindakan kasar dan lagak samseng ditunjukkan itu bukanlah akhlak yang dianjurkan oleh Islam mahupun adab pekerti Melayu sekalipun pelaku melaung-laungkan kalimah: saya imam, saya imam.” katanya dalam satu kenyataan hari ini lapor Malaysiakini.
Sheikh Omar bersama beberapa penyokong pembangkang hadir untuk mengedarkan buah kurma kepada pengunjung di bazar Ramadan Kluang, turut hadir, Anggota Parlimen Kluang, Liew Chin Tong bagaimanapun mereka disekat daripada memasukinya.
Seorang daripada lelaki terbabit beberapa kali beristighfar dan mendakwa dia seorang “imam” dan mengarahkan mereka beredar dari situ.
Kata Sheikh Omar, kenyataan dua pemimpin Umno Johor – iaitu Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim dan Exco Pendidikan, Penerangan, Pembangunan Usahawan Dan Koperasi Negeri Johor Md Jais Sarday – mempertahankan tindakan “imam” terbabit adalah sesuatu yang malang.
“Razali dan Jais sepatutnya lebih tegas dan kembali kepada persoalan pokok – adakah mereka bersetuju dengan tindakan dilakukan pemuda tersebut ke atas anggota parlimen Kluang?
“Adakah mereka bersetuju dengan tindakan melarang seorang wakil rakyat memasuki bazar Ramadan yang merupakan kawasan awam?
“Adakah Razali dan Md Jais bersetuju bahawa anggota Umno perlu menguasai bazar Ramadan mengatasi pihak berkuasa tempatan sehinga berlaku lagak samseng yang tiada kawalan?” katanya.
Berdasarkan reaksi setakat ini, kata Sheikh Omar, Razali dan Md Jais tidak sedikit pun menunjukkan rasa bersalah atas tindakan ala samseng oleh pihak terbabit, sebaliknya seperti selalu menyalahkan DAP.
“Apa yang berlaku semasa kami mengedarkan kurma di Bazar Ramadhan Kluang cukup menggambarkan bahawa majoriti rakyat tidak suka kepada keganasan dan budaya samseng.
“Rakyat mahukan keamanan, kerukunan, semangat muhibbah dan budaya saling hormat-menghormati,” katanya dalam kenyataan yang sama.

Monday, June 12, 2017

AHMAD MASLAN SARAN PROGRAM SISWAPRENEUR DILAKSANAKAN DISEMUA UNIVERSITI AWAM

NILAI -- Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Ahmad Maslan mencadangkan agar program siswapreneur dilaksanakan di semua universiti awam di negara ini bagi memberi peluang kepada mahasiswa menyelami ilmu keusahawanan.
Beliau berkata setakat ini hanya tujuh daripada 20 universiti awam menyertai program itu.
"Program sesuai dimulakan pada tahun ini kerana tahun ini merupakan tahun kempen mula jadi usahawan (start-up year) dan tahun promosi perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
"Oleh itu, sesuai dengan dua kempen tersebut saya juga mencadangkan supaya siswa siswi menanamkan budaya keusahawanan dalam diri dan membuang budaya 'makan gaji'," katanya pada sidang media di sini selepas menjadi anggota panel program Transformasi Nasional 2050 'Mengusahawankan Mahasiswa Berlandaskan Maqasid Syariah' di Kompleks Islam Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) hari ini.
Turut hadir Naib Canselor USIM Prof Datuk Dr Musa Ahmad.
Mengulas lanjut Ahmad berkata antara kebaikan program itu ialah dapat mengurangkan pengangguran dalam kalangan siswazah yang berpeluang menceburi bidang keusahawanan semasa masih di universiti.
Selain itu, beliau berkata program siswapreneur juga dilihat mampu melahirkan lebih ramai usahawan Melayu dan seterusnya menguasai industri halal.
"Sepatutnya usahawan halal di Malaysia 70 peratus Islam 30 peratus bukan Islam, tapi ini terbalik. Itu menunjukan kelemahan yang patut kita perbaiki," katanya.
-- BERNAMA

BERSATU CABAR NAJIB DEBAT MAHATHIR KERJA SIA-SIA, KATA ISMAIL SABRI

BERA, 12 Jun — Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berpandangan adalah lebih baik untuk Barisan Nasional (BN) khususnya Umno tidak melayan permintaan pembangkang untuk berdebat.
Beliau juga menyifatkan melayan kehendak untuk berdepat itu sebagaikerja sia-sia kerana penganjurannya jelas bertujuan mencari kesalahan selain tidak membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat.
“Saya rasa kita tidak perlu melayan pembangkang itu kerana hanya menghabiskan masa. Malah Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) juga menyatakan kerajaan hari ini adalah kerajaan yang mendengar semua permasalahan rakyat dan akan menyelesaikannya.
“Masalah rakyat itu yang lebih penting daripada berdebat dan sebagainya… yang bukannya mencari kebenaran tetapi untuk mencari kesalahan dan membuat tuduhan palsu yang bukan-bukan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Peruntukan Parlimen Bera di Dewan Umno Bera di sini hari ini.
Anggota parlimen Bera mengulas kenyataan ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang dilaporkan akan menganjurkan forum “Nothing to Hide” kedua dengan menjemput Najib dan pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohammad menjawab soalan berbangkit daripada mana-mana pihak.
Ismail Sabri berkata jika Umno berlapang dada untuk “menyambut pelawaan itu sekalipun”, penganjurannya tidak akan mencapai objektif kerana sudah pasti pembangkang tidak akan menerima apa juga kebenaran dan kebaikan yang dilakukan Umno. — Bernama

Sunday, June 11, 2017

EXCO PEMUDA BERSATU BAKAL HADAPI TINDAKAN DISIPLIN, KATA SYED SADDIQ

Exco Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Muhammad Hafiz Azhar bakal menghadapi tindakan disiplin selepas mempersoalkan kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam parti itu pada sidang media semalam.
Ketua Armada BERSATU, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata parti itu tidak mempunyai masalah untuk menyuarakan pendapat tetapi ia mesti dilakukan menerusi saluran yang betul.


Bagaimanapun, katanya Hafiz tidak akan terus dilucutkan jawatan tetapi akan dipanggil ke jawatankuasa disiplin bagi mengetahui sebab beliau berbuat demikian.
"Di situ kita akan memberikan peluang untuk beliau menjawab soalan, atau beliau sendiri boleh bercakap beliau tidak berpuas hati dengan isu ini. Itu hak beliau.
"Tetapi pada masa yang sama, jika beliau tetap menyalahgunakan nama Armada dan menggunakan forum yang salah, kita biarkan tindakan diambil oleh jawatankuasa disiplin parti Pribumi Bersatu Malaysia," katanya.
Beliau berkata Hafiz memiliki peluang untuk membangkitkan perkara itu terus kepada Mahathir dan Muhyiddin termasuk menerusi forum tertutup dan terbuka, namun tidak menghadiri forum-forum berkenaan.

Friday, June 9, 2017

DR MAHATHIR BAWA KERETA MENCECAH 150KM SEJAM - JOKOWI

Kuala Lumpur – Presiden Indonesia, Joko Widodo yang lebih dikenali sebagai Jokowi melahirkan keterujaannya terhadap pemanduan Pengerusi Eksekutif Proton, Tun Dr. Mahathir Mohamad sewaktu beliau berkunjung ke Proton sempena lawatan rasmi tiga hari ke Malaysia.
Dalam kunjungan pertamanya ke negara ini, Jokowi menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman antara Proton dan PT Adiperkasa Lestari. Menerusi MoU itu, Proton bakal membantu Indonesia dalam menghasilkan kereta nasional milik republik itu.
Jokowi juga dibawa melawat ke sekitar kawasan kilang Proton di mana selain diberi taklimat, beliau melihat sendiri kehebatan teknologi R&D serta kepakaran syarikat pengeluar kereta tempatan yang menjadi kebanggaan Malaysia.
Paling menarik apabila Jokowi merasai pengalaman manaiki salah sebuag kereta terbaru keluaran Proton iaitu Proton Iriz yang dipandu sendiri oleh Pengerusi Eksekutif Proton yang juga mantan Perdana Menteri Tun Mahathir di litar pandu uji Proton.
Selesai sesi pandu uji, Presiden Indonesia itu memberikan reaksi positif tentang kehebatan model terbaharu Proton malah berkongsi keterujaan beliau terhadap pemanduan Dr. Mahathir yang dikhabarkan memandu pada kelajuan 150km/j.
“Kalau di Indonesia, kelajuan yang paling tinggi saya pandu hanyalah 60km/j tetapi Dr. Mahathir bawa mencecah 150km/j dan usia beliau sudah mencapai 90 tahun!” kata Jokowi kepada beberapa delegasi yang hadir.
Presiden Indonesia itu turut memuji Iriz: “Iriz adalah sebuah kenderaan yang hebat, walaupun lelajuan mencecah 150km/j, namun pemanduannya sangat lancar dan stabil tanpa sedikit pun gegaran yang terasa dan inilah antara teknologi Proton yang mahu dipelajari oleh Jakarta.”
Dr. Mahathir menjelaskan setiap model kereta Proton kini dipandu uji sendiri oleh beliau bagi memastikan kualiti jentera kebanggan negara itu.
Dalam sidang media yang berasingan pula, bekas Perdana Menteri memberitahu, Proton akan membantu Indonesia melalui PT Adiperkasa Citra Lestari dalam mengikuti jejak langkah Proton yang kini mempunyai kepakaran dan teknologi 100 peratus buatan tempatan.
Ditanya adakah Proton sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab itu, Dr. Mahathir sambil berseloroh menjawab: “Dulu kita bayi, sekarang kita sudah dewasa!” – Malaysia Gazette 7/02/15

Thursday, June 8, 2017

BERSATU TUBUH LEMBAGA DISIPLIN PARTI

PETALING JAYA - Bersatu memutuskan untuk menubuhkan lembaga disiplin seperti yang diperuntukkan dalam perlembagaan.

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata tujuan utama penubuhan lembaga tersebut adalah untuk mengukuhkan perjalanan parti.

"Sekiranya ada kes disiplin berkaitan parti, perkara tersebut akan diuruskan oleh lembaga ini.

"Selain itu, lembaga ini turut berperanan menggubal tata etika ahli dan peraturan-peraturan serta hukuman jika ada ahli melanggarnya," katanya ketika ditemui di sidang akhbar di Galeri Bersatu, hari ini.

Sementara itu, Muhyiddin mendakwa Bersatu kini sedang bersiap sedia untuk menghadapi PRU14.

"Untuk PRU, kita sedang menyelesaikan peruntukan di beberapa buah negeri serta melantik Ketua Hubungan Bersatu di dua buah negeri.

"Kita ingin kukuhkan permohonan parti dan dalam memerlukan gerak kerja yang ramai untuk memudahkan gerak kerja," katanya lagi.

Selain itu, beliau sempat mengulas mengenai isu saman yang dibuat oleh bekas ahli Bersatu.

"Surat saman belum sampai tetapi nanti perkara itu akan diuruskan oleh peguam saya.

"Kalau kena saman, tidak mengapalah, kita jumpa di mahkamah," katanya lagi.  

Wednesday, June 7, 2017

PILIH ISA SAMAD ATAU SAYA, KATA ZAKARIA KEPADA PEMEGANG SAHAM FGV

CEO FGV Datuk Zakaria Arshad meminta pemegang saham pilih sama ada beliau atau pengerusi Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad – Foto Astro Awani
KUALA LUMPUR: Isu Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) semakin memuncak apabila Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Zakaria Arshad meminta pemegang saham memutuskan sama ada beliau atau pengerusi Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad yang harus meninggalkan salah sebuah syarikat perladangan senaraian awam terbesar di dunia itu.
“Dalam keadaan ini, saya tidak boleh terus bekerja di FGV. Pemegang saham perlu buat keputusan…sama ada Isa atau saya (tinggalkan FGV),” katanya kepada StarBiz dalam satu temu bual beberapa jam selepas menerima surat arahan bercuti sementara menunggu siasatan berkaitan syarikat subsidiari FGV.
“Bagaimana mahu bekerja jika dia (Isa) masih ada?,” tanya Zakaria, yang menerima surat tersebut, Selasa.
“Pemegang saham boleh memilih salah seorang, mereka boleh buat keputusan,” katanya sambil menambah surat itu tidak menyatakan berapa lama beliau harus bercuti.
Zakaria juga menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat dakwaan salah laku dalam FGV dan berkata beliau suka jika pihak di sebalik kontrak disiasat.
“Di atas kertas, segala-galanya adalah di atas lembaga pengarah. Saya menjemput SPRM untuk menyiasat…siapa di belakang semua tawaran, siapa orang yang memberikan kontrak, syarikat mana dan mengapa hanya syarikat-syarikat ini mendapat kontrak,” katanya.
Isa pada sidang akhbar yang penuh sesak di sini memberitahu bahawa keputusan untuk meminta Zakaria bercuti bagi membolehkan pasukan audit dalaman FGV terus menyiasat dakwaan salah laku melibatkan jutaan ringgit daripada Delima Oil-Safitex, termasuk kelalaian dalam pembayaran.
Menurutnya, siasatan terhadap Zakaria dijalankan susulan daripada hasil siasatan yang telah dilakukan oleh syarikat audit, PricewaterhouseCoopers yang tidak boleh dinyatakan kepada umum.
Zakaria dilantik sebagai CEO pada 1 April tahun lepas.
Bagaimanapun, Mohd Isa berkata siasatan itu tidak mempunyai tempoh masa tertentu.
“Hasil siasatan awal berapa bulan lalu mendapati ada salah laku urus niaga dengan Delima Oil Products Sdn Bhd dan Safitex dan lembaga pengarah mencadangkan beliau letak jawatan supaya (perkara ini) tidak menjadi isu besar. Tetapi dia tak nak,” katanya.
Mohd Isa juga berkata FGV terbuka untuk berkerjasama dengan SPRM bagi siasatan.
FGV dalam satu pengumuman kepada Bursa Malaysia berkata cuti Zakaria bermula 6 Jun sementara menunggu siasatan dijalankan ke atas beberapa transaksi oleh anak syarikatnya, Delima Oil Products Sdn Bhd.
Melalui Twitter, Zakaria Arshad‏ berkata, sebagai anak Felda beliau sudah melakukan apa yang termampu untuk kepentingan syarikat berkenaan.
Sebelum itu Zakaria berkata, perkembangan ke atasnya semalam adalah sesuatu yang tidak pernah terjadi dalam sejarah Felda dan FGV sebelum ini.
Pada 12.04 tengah hari Selasa, harga saham FGV turun tujuh sen kepada RM1.66 dengan 27.12 juta saham diniagakan. – mStar | MRM

Monday, June 5, 2017

BERSATU TEMBUS SEMUA KUBU KUAT UMNO


Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) kini telah menembusi semua kubu kuat Umno-BN apabila berjaya menubuhkan bahagiannya sendiri di kawasan-kawasan berkenaan, kata Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Kesemua kawasan itu termasuk 54 kerusi parlimen yang memiliki tanah rancangan Felda dan sejak dahulu menjadi kubu kuat Umno, kata anggota parlimen Pagoh itu.
Muhyiddin berkata, walaupun terdapat perpecahan dalam kalangan pengundi Melayu, kedudukan BERSATU pada masa ini jauh lebih baik berbanding parti-parti dalam Pakatan Harapan, PAS dan malah Umno.
"Jadi, sebab itu strategi yang kita susun sekarang ini untuk fokus ke kawasan-kawasan kubu Umno dan kita telah tembus hampir semua kawasan sebab semua kawasan sudah ada bahagian," katanya dalam temubual yang disiarkan di Facebook.
Mengulas lanjut, belas timbalan perdana menteri itu berkata BERSATU kini sedang melaksanakan strategi bagi menarik penyertaan bukan sahaja daripada Melayu di dalam Umno tetapi juga daripada PAS.
Katanya, perpecahan yang berlaku dalam Umno dan PAS apabila sebahagian besar ahlinya tidak sehaluan dengan parti terbabit, kini memberikan kelebihan kepada BERSATU.
"Ahli-ahli PAS menyeberang untuk menyertai parti pimpinan kita kerana mereka agak kecewa dengan apa yang berlaku dalam PAS sendiri.
"Jadi, disebabkan itu bagi saya kalau ini dapat dilakukan maka sokongan Melayu bagi parti perjuangan kita agak lebih menonjol berbanding yang lain," kata Muhyiddin.
Bagi bukan Melayu pula, sokongan seperti Cina, India dan kaum-kaum lain terhadap BERSATU juga dilihat lebih besar untuk membantu kemenangan parti itu di kawasan campuran.
"Jadi kalau ini berterusan berlaku dalam keadaan mana sekali pun, kita harap akan mendapat sejumlah sokongan yang jauh lebih besar berbanding parti-parti lain untuk membentuk kerajaan," katanya. - Malaysiakini